Soalan Penjawat Awam (Bakal Pesara):
Nama saya Mimi Rugayah, saya berumur 45 tahun dan telah berkhidmat
selama 18 tahun (dilantik pada 1 Oktober 1999) sebagai Pegawai Tadbir di
Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia. Saya telah memilih skim pencen dan
memilih opsyen umur persaraan 60 tahun.
Jika saya ingin bersara pada 1 Oktober 2018, bagaimanakah cara untuk
saya memohonnya? Apakah faedah-faedah persaraan yang akan saya terima?
Betulkah pencen bulanan saya hanya akan dibayar pada umur saya 60 tahun?
Jawapan:
Puan Mimi Rugayah, terima kasih kerana menghubungi pihak kami.
Untuk makluman, mengikut Seksyen 12, Akta Pencen 1980 :
Syarat-syarat memohon persaraan pilihan:
– berumur sekurang-kurangnya 40 tahun pada tarikh kuatkuasa persaraan pilihan;
– berkhidmat sekurang-kurangnya selama 10 tahun dalam perkhidmatan yang
boleh diambilkira (tanpa sebarang cuti tanpa gaji, cuti berlebihan atau
tempoh yang tidak layak); dan
– mendapat sokongan Ketua Jabatan
– bebas tindakan tatatertib
– bebas tapisan SPRM
Cara memohon?
– hantar surat permohonan kepada Ketua Jabatan
– Permohonan dihantar ke JPA/KWAP melalui perakuan dan sokongan Ketua Jabatan
– Dokumen yang lengkap perlu dikemukakan ke JPA/KWAP dalam tempoh tidak
kurang dari 3 bulan daripada tarikh persaraan pilihan (Pekeliling
Perkhidmatan Bil. 4 tahun 2003)
Faedah-faedah yang bakal diterima setelah diluluskan persaraan pilihan?
1. Award Wang Tunai Gantian Cuti Rehat (GCR) – Terhad sehingga 150 hari sahaja
Formula perkiraan:
1/30 x GCR x Gaji (gaji pokok termasuk imbuhan tetap)
2. Ganjaran perkhidmatan (gratuity)
Formula perkiraan:
7.5% x tempoh perkhidmatan dalam bulan x gaji pokok akhir
Bilakah PENCEN bulanan mula dibayar?
– ianya bergantung kepada tarikh lantikan anda
– sekiranya anda dilantik sebelum 12 April 1991, jika anda ingin
bersara pilihan, sekiranya diluluskan, maka pencen bulanan akan mula
dibayar :
a) pada umur 45 tahun bagi semua anggota/pegawai wanita, anggota
polis berpangkat rendah daripada ASP (Inspektor ke bawah), anggota bomba
berpangkat rendah, pegawai penjara (bawah dari pangkat penguasa
penjara) jururawat lelaki yang bertugas di hospital mental Kerajaan; dan
b) pada umur 50 tahun bagi semua anggota / pegawai lelaki selain jawatan di atas (a).
– sekiranya anda dilantik selepas 12 April 1991, sekiranya anda ingin
bersara pilihan, pencen akan mula dibayar kepada anda apabila anda
mencapai umur 55 tahun, walaupun opsyen umur persaraan wajib anda adalah
pada 60 tahun, anda tetap akan menerima pada umur 55 tahun dan tidak
sebelum umur itu.
Ini bagi menjawab soalan ke 3 puan di atas. Peraturan ini adalah
sepertimana pindaan yang telah dibuat pada tahun 2011 dan masih
berkuatkuasa sehingga ke hari ini.
Formula Perkiraan Pencen:
1/600 x tempoh perkhidmatan dalam bulan yang boleh dimasukkira x gaji pokok akhir
– kiraan pencen bulanan adalah terhad kepada pencen maksimum iaitu
sebanyak 3/5 x gaji pokok akhir atau 60% x gaji pokok akhir atau terhad
kepada tempoh 360 bulan (30 tahun) sahaja.
** sebaiknya untuk penentuan tarikh untuk bersara pilihan, pilihlah
tarikh selepas anda menerima kenaikan gaji tahunan. Walau bagaimanapun,
tarikh persaraan pilihan anda yang tentukan.
** tiada sebarang konsep persaraan pilihan bagi penjawat awam yang
memilih skim KWSP. Anda dikira meletakkan jawatan dan anda hanya layak
menuntut caruman majikan dan caruman pekerja/anggota sahaja, tiada
sebarang faedah persaraan dan perubatan akan diberikan kepada anda
sekeluarga.
Sekian dimaklumkan, terima kasih.
Sila Tag kawan anda atau SHARE post ini supaya keluarga, rakan-rakan atau kenalan anda tahu mengenai info ini.
Sumber: Bahagian Pasca Perkhidmatan
Jabatan Perkhidmatan Awam
8 Januari 2018